Ahad, 15 April 2012

SEJARAH SK MERBOK (PUSAT)


SK Merbok (Pusat) telah ditubuhkan pada tahun 1912 Masihi bersamaan 1332 Hijrah oleh kerajaan Negeri Kedah atas daya usaha Penghulu Mukim Merbok ketika itu, En. Mohd Taib Bin Abdullah.
Terletak dua kilometer dari Pekan Merbok, sekolah ini memulakan lakaran sejarahnya pada sebuah bangunan kayu beratapkan nipah serta berdindingkan pelepah. Guru pertama di sekolah ini ialah En. Abdul Rahman Bin Saad dan jumlah murid ialah seramai 55 orang. Tidak ada kurikulum khusus yang ditetapkan melainkan hanya sekadar mengajar murid-murid membaca rumi, membaca jawi serta ilmu kira-kira yang mudah sahaja.
Pada tahun 1951, kerajaan Kedah yang sangat prihatin dengan kemajuan pelajaran serta inisiatif En. Mohd Akob bin Yaakob, Pegawai Daerah Kuala Muda ketika itu, maka sebuah bangunan baru telah didirikan. Pembukaan rasmi bangunan baru itu telah disempurnakan oleh KDYMM Sultan Badlishah.
Selaras dengan pertambahan bilangan penduduk Merbok serta kampung-kampung sekitarnya, maka dua orang pemimpin politik tempatan ketika itu, En. Abdullah Bin Abdul Ghafar dan Tuan Haji Mahmud Bin Jamaludin telah mengemukakan permohonan kepada pihak berwajib untuk menambahkan lagi bangunan baru. Permohonan telah diluluskan pada 1958 dan upacara perasmian telah disempurnakan oleh Yang Amat Berhormat En. Mohd Khir Bin Johari, Menteri Pelajaran Persekutuan Tanah Melayu.
Sejarah terus terlakar, pada 1967 sebuah bangunan yang mengandungi dua bilik darjah serta sebuah pejabat telah didirikan. Dua puluh tahun kemudian, iaitu pada 1987 sebuah bangunan mengandungi tiga bilik darjah serta sebuah bilik guru telah didirikan. Seperti tradisinya yang sentiasa mendapat bangunan tambahan, maka pada tahun 1990 sebuah bangunan empat bilik darjah telah didirikan. Upacara perasmiannya telah dilakukan oleh YAB Datuk Sri Anwar Bin Ibrahim, Menteri Pelajaran pada ketika itu. Dalam masa yang sama, permohonan untuk mendapatkan bangunan tambahan juga telah dikemukakan. Oleh itu, sebuah bangunan dua tingkat telah didirikan pada 1993 diikuti pula dengan sebuah makmal komputer pada tahun 2000.

2 ulasan:

  1. SKMP dah 100 tahun...mabruk

    BalasPadam
  2. Tahniah kepada semua guru-guru yang pernah menumpahkan jasa bakti di Sk. Merbok (Pusat) yang telah berjaya melahirkan pelajar-pelajar yang telah berjaya dalam pelbagai bidang. Diharap semangat juang yang ditinggalkan oleh barisan pendidik dahulu diteruskan oleh pendidik Sk. Merbok (Pusat) hari ini. Biarpun perjuangan hari ini lebih mencabar, Pendidik disini yang masih berdiri teguh disini menumpahkan jasa bakti. Syabas, SKPM "PELAJARAN SULUH KEBAHAGIAAN"

    BalasPadam